Wednesday, July 30, 2008

Biarkan yang telah pergi....


Puisiku...!
Daku hanya merayu;
"Jika...Jikalau..."
Tiada pangkal;
Tiada penghujung;
Hanya beban-beban...!!
Yang pergi...!!
Usah diharap kembali;
Usah ditangisi;
Insan biasa;

Mengorak langkah'
Tuhan bijak;
Dia mengatur.
Hiburlah hatimu;
Usah dikenang;
Usah diratapi;

Kepada yang telah pergi....

( Detik-detik Masa karangan Dr. Yusuf Al-Qaradawi )

Tuesday, July 29, 2008

Dari Auckland ke Baitul-Maqdis

Hari selasa biasanya hari yang paling memenatkan dalam seminggu. Manakan tidak, kuliah dari pagi sampai ke petang. Memang selalu menguji kekuatan mental dan fizikal.

"See you guys this thursday..." kata-kata John Prince, pensyarah subjek Engineering Technology Studies yang saya ambil semester ini di AUT, yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh saya dan rakan-rakan.

Cuaca ribut dijangka melanda Bandaraya Auckland petang itu. Alhamdulillah, dalam perjalanan pulang ke apartment kami di Symonds Street, hujan turun renyai-renyai sahaja.

"Wah! Ramainya pak Arab. Eh! orang melayu pun ada?" terkejut di hati melihat Starbucks di sebelah apartment kami bukan dipenuhi orang kafir, tetapi dipenuhi orang islam!

Tangisan yang tiada henti

Dalam situasi di kafe Starbucks tadi, apa yang terus terlintas di fikiran saya adakah mereka ini tidak tahu atau tahu tapi tewas dengan nafsu, mengenai kempen memboikot syarikat yang membantu Israel dan Yahudi laknatullah yang sedang giat dijalankan oleh sesetengah umat Islam di seluruh dunia?.

Tidakkah mereka tahu setiap dolar yang mereka sumbangkan di kafe itu, akan digunakan untuk membeli peluru yang digunakan untuk membunuh bangsa mereka, bangsa seagama kita, orang Islam Palestin?.

Tidakkan mereka dan kita sedar atau hanya tahu untuk berseronok-seronok dengan sambutan Isra' dan Mi'raj sedangkan tiada sambutan Isra' dan Mi'raj pun sebenarnya dalam agama ini.
Islam tidak menyuruh untuk sekadar memperingatinya tetapi yang lebih dipentingkan ialah mengambil pengajaran dari kisah hebat ini.

Tidakkah anda sedar??

Perjuangan belum selesai

Sedih saya mengenangkan situasi ketika melihat ramai orang islam masih lagi tidak sedar dan peka dengan situasi semasa dan situasi semasa yang saya maksudkan di sini bukanlah mengenai isu perpindahan pemain bola sepak dari mana-mana kelab bola sepak atau mengenai isu jenama fesyen pakaian baru yang telah muncul di pasaran tetapi yang saya maksudkan dengan isu semasa ialah isu umat Islam yang dari hari ke hari ditindas dan namanya diburuk-burukkan!.


Saya bukan mengatakan segalanya itu perlu ditinggalkan seratus peratus. Sama sekali tidak. Tapi biarlah ada batasnya dan berpada-pada. Kita dalam sedar atau tidak semakin di"candu" oleh musuh Islam yang pada pedapat saya, mereka sedang memenangi peperangan yang tidak ada kesudahannya ini.

Usaha dan kemenangan!

Wahai sahabat, sedarlah, perjuangan membebaskan Palestin bukan perjuangan orang Palestin tetapi perjuangan membebaskan Palestin ialah perjuangan umat Islam. Tanah Palestin ialah maruah kita.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj menunjukkan ikatan yang kuat antara Masjidil Haram dan Baitul-Maqdis. Peristiwa ini juga menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu ialah nabi bagi kedua-dua kiblat ini.

Saya akhiri entry kali ini dengan kata-kata Moshe Dayan, bekas Menteri Pertahanan Israel,

"Orang Islam adalah umat yang lemah kerana mereka TIDAK MERANCANG DENGAN TELITI, MALAS MENGKAJI SEJARAH UMAT MEREKA TERDAHULU, DAN MALAS..."

renung-renungkanlah....


Sunday, July 27, 2008

Bismillah

Alhamdulillah, akhirnya dengan izin Allah swt, hajat yang selama ini tersimpan lama, tertunai juga. Diri ini bukanlah seorang tokoh mahupun seorang penulis yang hebat, cuma berharap dapat berkongsi dengan teman-teman apa yang terlintas di fikiran.


Gambar hiasan: Seni Kehidupan

InsyaAllah dimulakan penulisan blog ini dengan sepotong hadis untuk sama-sama direnung dan difikirkan.

Daripada Umar al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." [Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim]

Wallahua'alam.