Tuesday, October 21, 2008

Muhasabah Cinta


Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru kusadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu


Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung do’a ku
Sakit yang kurasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi Muhasabat cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Artis: Edcoustic

Friday, October 17, 2008

Dengan Mata Pena Aku Berjuang

Pejam celik, pejam celik, semester kedua tahun ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Sungguh pantas masa berlalu. Bagi sesetengah universiti di New Zealand, peperiksaan akhir semester sudah pun bermula. Semoga berjaya pada rakan-rakan dan selamat berjuang.

Bagi Auckland University of Technology, minggu hadapan adalah minggu terakhir pengajian. Bagi diri ini sendiri, dan sememangnya fitrah seorang pelajar, semestinya saat-saat seperti ini adalah saat-saat yang sibuk, yang memerlukan diri ini mahir mengawal emosi diri dengan baik kerana bebanan kerja yang banyak. Saya hanya mampu berdoa pada Allah SWT supaya segala urusan dipermudahkan-Nya.

Sabarlah wahai hati...

"Zikri, kenapa dengan result kamu?"

Pertanyaan yang diajukan oleh pegawai pendidikan dan latihan JPA di sini yang tak mampu saya jawab ketika di tanya beliau semasa meeting minggu lepas. Diri ini terdiam lama. Di mana silapnya saya sendiri tidak tahu pada saat itu. Memori pada kegagalan lama teringat kembali.


Leka?

Lalai?

Tidak meletakkan keutamaan di tempat sepatutnya?

Satu lagi ujian hidup dari-Nya?

"InsyaAllah saya cuba perbaiki lagi puan. Mungkin silap itu datang dari saya juga...."

Hanya itu yang mampu saya luahkan.

Sepanjang malam saya fikir dan kenangkan. Di mana silapnya??

Perjuangan perlu diteruskan!

Alhamdulillah.

Semalaman saya fikirkan. Saya tahu di mana silapnya. Mungkin tak perlu dihebahkan di sini. Syukur masih lagi diberi peluang walaupun dalam masa yang suntuk ini diberi kesedaran oleh Ilahi.

"Allah SWT baru turunkan ujian yang sebegini kecil takkan dah tewas?!"

Saya cuba memotivasikan diri ini kembali. Saya yakin segala yang berlaku ini ada hikmah yang datang dari-Nya. Saya percaya dari kegagalan yang lalu, Allah SWT ingin memberi suatu petunjuk agar diri ini perlu diubah.

Kejayaan merubah diri itu pada saya masih lagi belum cukup dengan hanya sekadar kita sudah berjaya untuk setiap malam bangun menunaikan solat tahajjud. Merubah diri itu bukan hanya terletak, pada kejayaan untuk setiap dari kita berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis setiap minggu. Malah ia adalah suatu proses berterusan yang amatlah sukar. Siapa kata beristiqamah adalah suatu yang mudah?

Kita lihat apa kata Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 214,

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَآءُ وَالضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلاَ إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

" Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, "Bilakah akan datang pertolongan Allah?", Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Dengan ayat ini jelaslah sepatutnya setiap insan bergelar muslim itu sedar bahawa untuk masuk ke tempat terindah seperti syurga itu bukanlah mudah. Syurga yang manis itu perlu dibayar dengan harga perjuangan yang amatlah pahit.

Adakah apabila datang ujian-ujian kecil, kita sudah kecewa dan berputus-asa?

Mungkin Allah SWT ingin melihat bagaimana reaksi hamba-Nya dengan ujian-ujian yang diberikan-Nya.

Marah?

Berubah?

Insaf?

Sedar?

Terus terjerumus ke arah kemaksiatan dan menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai tuhan?

Yakin Dengan Ilahi

Seperti tahun-tahun sebelumnya, perjuangan kita sebagai seorang pelajar muslim sudah sampai ke kemuncaknya, terutamanya bagi rakan-rakan yang sedang menuntut di Auckland khususnya.

Sekadar nasihat buat anda dan diri saya sendiri, di samping kita berusaha, berdoa, dan bertawakkal pada Allah SWT, jangan dilupakan satu lagi ramuan penting dalam resepi kecemerlangan tadi, keyakinan diri yang tinggi bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk membantu.

Dia sentiasa rindukan rayuan hamba-Nya memohon pada-Nya bantuan dan pertolongan.

Tiada yang lebih gembira melainkan Allah bila ada hamba-Nya merayu penuh keikhlasan memohon dimudahkan segala kesusahan.

Saya selitkan satu kisah anbiya' yang pada saya boleh kita ambil pengajaran penting darinya. Kisah ini diceritakan Allah dalam Al-Quran dalam Surah Ah-Shu' ara ayat ke 62 hingga 67 sebagai pedoman buat hamba-hamba-Nya.

- فَلَمَّا تَرَآءَا الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَـبُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ - قَالَ كَلاَّ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَهْدِينِ - فَأَوْحَيْنَآ إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ - وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ الاٌّخَرِينَ - وَأَنجَيْنَا مُوسَى وَمَن مَّعَهُ أَجْمَعِينَ - ثُمَّ أَغْرَقْنَا الاٌّخَرِينَ - إِنَّ فِى ذَلِكَ لأَيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
Ayat ini menceritakan bagaimana keadaan orang-orang yahudi ketika tersekat di pinggir Laut Merah ketika sedang melarikan diri dari tentera Fir'aun. Kebanyakan mereka pada ketika itu sudah berputus-asa dengan mengatakan bahawa mereka akan tertangkap.

Tetapi dalam situasi ini, kita lihat bagaimana sifat dan tindakan seorang insan pilihan tuhan, Nabi Musa as. Dengan tenang dan yakin dia menyatakan bagaiman Allah SWT akan membantu mereka meskipun dia tidak tahu bagaiman bantuan dari Allah dan betulkah Allah SWT akan membantu mereka.

Akhirnya, dari keyakinan dan keimanan itu, Allah SWT menghulurkan bantuan-Nya. Seterusnya adalah kisah yang kita semua tahu di mana laut terbelah dan kaum yahudi berjaya menyeberang laut dan terselamat.

Begitulah juga anda dan saya. Keyakinan pada Allah SWT itu perlulah ada dalam kita mengharapkan bantuan dari-Nya. Adakah kuasa yang lebih hebat dari kuasa Yang Maha Mencipta?

Selamat Berjihad Dengan Mata Pena

Akhir kata, semoga berjaya pada semua. Dalam kita sibuk dengan urusan harian, jangan sesekali kita lupa di mana sepatutnya keutamaan dalam hidup ini kita patut letakkan. Iringi setiap usaha dengan doa, tawakkal, dan keyakinan pada-Nya!

Di bawah ini saya letakkan satu video yang sentiasa menaikkan kembali semangat saya untuk belajar dan berjihad dengan mata pena.

Saya sentiasa mencemburui saudara-saudara kita di Palestin kerana setiap hari mereka tahu, bahawa sesungguhnya pintu untuk mati syahid dan jalan untuk ke syurga sudah terbentang luas meskipun dengan batu mereka berjuang.

Dengan menonton video ini saya sedar, umat ini punya jalan yang masih jauh dan kita punya tugas yang berat untuk mengembalikan semula kegemilangannya.

Ini adalah pendapat saya, anda pula bagaimana?




video

Tuesday, October 7, 2008

Bila hati terasa runsing

Sekadar ingin berkongsi video dan lagu yang menarik.


Sunday, October 5, 2008

Pasca Ramadhan

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan doa pada Allah swt kerana memberi saya peluang untuk mengecap nikmat Ramadhan dan seterusnya menikmati bulan kemenangan umat Islam, bulan Syawal. Tahniah pada semua muslimin muslimat, sahabat handai di Auckland terutamanya dan di seluruh dunia di mana jua anda berada jika sasaran dan objektif amal ibadat yang ingin dicapai semasa bulan Ramadhan, tercapai.

Teringat kata-kata seorang alim dari Arab Saudi yang hadir ke Mount Street Prayer Room, di mana tempat saya menunaikan ibadah terawih setiap malam, Sheikh Khalid, tentang bulan Ramadhan bahawa beruntunglah seorang muslim jika Ramadhan ini berjaya mendekatkan dirinya pada Allah SWT dan syurga-Nya dan rugilah seorang muslim itu jika Ramadhan ini tidak datang padanya sebarang keuntungan pun. Saya pohon pada Allah SWT agar diletakkan diri ini dalam golongan yang pertama tadi.


Banyak juga karenah umat manusia semasa bulan Ramadhan diperhatikan dan semuanya saya jadikan iktibar buat diri sendiri dan pengajaran. Ucapan tahniah dan terima kasih juga pada Sheikh Rafat, penasihat pelajar muslim di AUT University dan juga rakan-rakan muslim yang membantu beliau dalam menghidupkan bulan Ramadhan bagi kami terutamanya pelajar muslim yang menetap di Auckland City. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa anda.

Sheikh Rafat akan memberikan sedikit tazkirah apabila selesai 4 rakaat pertama solat terawikh dan kemudian akan disambung dengan 4 rakaat terakhir disertakan dengan solat sunat witr. Antara sessi tazkirahnya yang menarik ialah apabila beliau menjemput seorang warga New Zealand, Brother John (kalau tak silap..) yang memeluk Islam hampir 20 tahun yang lalu untuk menceritakan kisah bagaimana beliau tertarik untuk memeluk Islam.

Sebabnya mudah sahaja. Layanan baik yang diterimanya semasa beliau merantau ke Pakistan hampir 20 tahun yang lalu yang menyebabkan beliau tertarik untuk memeluk Islam. Sepanjang tazkirah itu, secara jujurnya hati ini hanya memuji Allah yang satu.

Subhanallah..subhanallah..subhanallah....

Betapa mudah hidayah itu diberi. Jika hendak diberi, pada siapa pun Dia mampu. Dengan apa cara sahaja sekalipun. Brother John juga ada menceritakan bagaimana pada mulanya sebelum dia berangkat ke Pakistan bahawa dia tidak akan sesekali melakukan apa yang dikatakannya sebagai " meletakkan dahi di atas tanah, 5 kali sehari" iaitu solat 5 waktu atau bahasa mudahnya, memeluk Islam. Bukti bahawa hidayah itu sesungguhnya milik Allah SWT.

Dia juga menceritakan bagaimana seronoknya menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Betapa indahnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca oleh Imam Masjidil Haram. Betapa dia berasa tidak seronok dengan imej buruk yang ditonjolkan oleh media terhadap dunia Islam.

Dan nasihat yang paling saya ingat dari beliau ialah betapa pentingnya untuk setiap umat Islam itu memulihkan kembali imej Islam yang dipandang buruk oleh hampir keseluruhan penduduk dunia sekarang.

Sedangkan seorang yang lahirnya bukanlah seorang muslim mampu sedar untuk mencari jalan yang lurus menuju Tuhan yang maha mencipta, bagaimana pula kita?

Apakah tujuan hidup anda sebagai seorang muslim?