Wednesday, December 31, 2008

Pada Siapa Lagi Perlu Diharapkan!

Terima kasih kepada senior saya yang me"link"kan video ini di status beliau. Kalau tidak tergerak diri ini untuk klik di status tersebut, pasti saya tidak mengetahui hakikat atau realiti sebenar apa yang sedang di hadapi oleh umat Islam di Palestin.

Videonya cukup ringkas tetapi penuh dengan maklumat yang saya yakin rata-rata umat Islam di tempat lain tidak mengetahuinya.

Saya ingin mengajak anda menontonnya, kemudian menilai, dan bertindaklah di atas kemampuan masing-masing.

Apa Yang Dah Kita Buat??

Di sini saya letakkan hasil luahan pemikiran dari seorang insan yang hebat (mana tak hebat, associate prof tu) berkenaan dgn masalah umat Islam dan saudara kita di Palestin. Saya sendiri terasa dan tersentuh dgn hasil tulisan beliau sambil terfikir,

"Apa yg dah aku lakukan untuk org Islam di Palestin?"



Dari Dr Hasan Basri

Apa yang berlaku di Gaza dari perspektif rakyat biasa adalah hanya keluhan, rasa geram, marah, benci yang meluap-luap terhadap kekejaman Israel yang sememangnya bangsa yang dimurkai Tuhan. Tidak ada yang lebih dari mengadakan perhimpunan, demonstrasi, menyatakan kemarahan mereka. Itulah kemuncak yang kita boleh buat sebagai rakyat.

Namun dari segi pemerintah, ia adalah menjadi tanggungjawab kerajaan di DUNIA ini melakukan sesuatu untuk menghentikan kejahatan Israel ini kerana dari segi tuntutan mahkamah duniapun, apa yang dibuat oleh Israel sekarang adalah menyalahi undang-undang antarabangsa dan memang ada peruntukan untuk mengheret Israel ke mahkamah di Hague, Holland.

Masuk hari ini, hari kedua, Israel telah membunuh lebih 200 orang Palestinians dan mencederakan lebih 800 orang sebahagiannya kritikal dan cedera parah, 21% adalah kanak-kanan dan 14% adalah wanita.

Apakah tindakan dan reaksi pemerintah dunia Arab dan dunia?

Mesir mengecam tindakan Israel, dan membuka laluan Rafah untuk membawa mereka yang cedera ke mesir sedangkan sebelum ini menutup laluan tersebut kepada rakyat Palstine yang kebuluran, tiada makanan dan ubat, dan sehari sebelum serangan Israel, Menteri Luar Israel, Lifni berganding tangan dengan Menteri Luar Mesir, Abul Ghaiz!!

Raja Jordan mengecam serangan Israel dan mengatakan keadaan di Palestine tidak akan aman dengan serangan tersebut dan Jordan adalah negara yang berdamai dengan Israel, membuka kedutaan Jordan di Israel dan sebaliknya dan bersekongkol dengan Israel untuk menghancurkan HAMAS

Qatar, Yamen, Liga Arab, Lubnan, Jordan dan kira-kira belasan lagi negara Arab menyeru untuk diadakan Sidang Kemuncak Tergempar. Untuk apa? Untuk mengutuk serangan Israel, TIDAK lebih dari mengutuk, kemudian balik tidur di bilik-bilik penginapan hotel mewah, menaiki kapalterbang mewah dan menyedari darah rakyat Palestine terus tumpah
di hadapan mata mereka!! Hanya Syria yang mengatakan kalau sekadar nak buat sidang tergempar hanya untuk mengutuk TAK payah buatlah sidang tersebut. Libya juga mengatakan dalam nada yang sama, tetapi kedua-dua negara ini juga TIDAK buat apa-apa juga sebenarnya.

Saudi Arabia yang menjadi Big Brothers kepada semua negara Arab TIDAK mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga tulisan ini, mungkin kerana sibuk dengan sidang negara Teluk di Oman dari 29-30 Desember. Sebenarnya bukan kerana faktor tersebut, tapi Saudi memang sudah diikat kakinya oleh Amerika.

Turki juga mengeluarkan kenyataan bahawa serangan Israel akan menghalang usaha damai yang ditaja oleh Turki. Tidak ada usaha ketenteraan dari pihak Turki, sedangkan apabila Kurdish menyerang sempadan wilayahnya, mereka memburu pejuang kurdish hingga ke wilayah Iraq (menceroboh kawasan negara jiran!!). Di mana solidariti Turki
sebagai negara yang kononnya mahu menaikkan imejnya sebagai negara Islam.

Presiden Palestine Abbas atau nama gelarannya Abu Mazin, mengeluarkan kenyataan yang tidak menampakkan kesedihan beliau atas apa yang berlaku. Beliau sekadar mengatakan tindakan Israel itu akan menghalang plan damai tajaan Amerika. Inilah boneka yang Tidak menyembunyikan kebonekaannya kepada Israel dan Amerika. Pembelot
negara Palestine yang dijulang oleh Amerika dan Barat dan sebahagian negara Islam yang bebal.

Kesatuan Eropah menyelar tindakan Israel dan meminta Israel mengehentikan tindakannya tanpa sebarang ugutan tegas untuk menggunakan kekuatan tentera seperti yang mereka lakukan ke atas Bosnia, Iraq, Afghanistan dan lain-lain lagi. Kenyataan tersebut hanya untuk melunakkan telinga mereka yang leka, lalu menyangka EEU menentang tindakan Israel tersebut.

Rusia menyelar tindakan Israel dan menyeru Israel memberhentikan segera serangan tersebut. Arahan hanya dengan air liur. Dan lebih memeranjatkan juga Rusia meminta HAMAS juga menghentikan serangannya ke atas Israel yang sehingga kini telah membunuh seorang penghuni HARAM Israel dan mencederkaan 4 orang lagi penguni HARAM (yang merampas tanah rakyat Palestine). Arahan Rusia kepada HAMAS seolah-olah HAMAS menyerang Israel, sedangkan HAMAS hanya mempertahankan diri mereka.

Amerika mengingatkan Israel supaya TIDAK menyerang kawasan orang awam. Itulah peringatan Amerika kepada Israel. Amerika dengan jelas mengatakan ia menyokong serangan tersebut kerana ia adalah usaha untuk menghapuskan HAMAS, kumpulan terrorist. Percayalah cendekiawan sekelian, kalau ada usaha untuk mengecam atau mahu mengheret Israel ke muka pengadilan Amerika akan menggunakan sekali lagi kuasa VETO di PBB.

VETO Amerika sebenarnya boleh di VETO pula oleh pemegang kuasa VETO yang lain spt Rusia, Britain, dan China. Soalnya adakah mereka akan over-rule VETO Amerika? Mereka TIDAK akan VETO Amerika bukan kerana mereka takut pada Amerika, tetapi mereka juga bersekongkol dengan Amerika kerana mereka mahu melihat HAMAS hancur, dan mereka tidak merasa dukacita apabila rakyat Palestine bermandi darah.

Semasa saya menulis ini, saya terus mengikuti berita yang disiarkan oleh al-Jazeerah, darah rakyat Palestine terus tumpah di tangan durjana Israel. Hanya yang menguatkan semangat saya apabila menatapi keberanian pejuang-pejuang HAMAS, Jihad Islami, jihad QASSAM, sayap bersenjata HAMAS yang muncul di channel aljazeerah menyatakan mereka tidak akan undur walau selangkah dan mereka sanggup shahid demi mempertahankan tanah air mereka. Memang mereka akan berhadapan dengan maut kerana mereka hanya ada roket buatan sendiri, mereka hanya ada batu, sedangkan Israel mempunyai segala kelengkapan.

Tidak cukup dengan itu, seperti yang saya katakan di atas, mereka dikhianati bangsa yang seugama dengan mereka sendiri seperti Kerajaan Palestine boneka Amerika, Jordan, dan Mesir yang berpakat dengan Amerika atau sekurang-kurangnya TUNDUK kepada kehendak Amerika dan Israel.

Who cares? Itulah nasib yang mereka terima? Kita adalah rakyat biasa sahaja. apa yang boleh kita buat, kita tidak boleh buat apa-apa. Cuma satu sahaja, kalau perasaan kita tidak tersentuh dengan kesangsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestine, samada mereka itu Islam atau Kristian, maka apakah agaknya yang akan kita jawab di hadapan Tuhan
apabila kita disoal nanti. Bagi orang Islam, apakah agaknya yang akan kita jawab apabila kita ditanya: benarkah kamu kasih kepada saudaramu, apabila ia sakit kamu juga merasa sakit seperti yang disabdakan oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Benarlah kata-kata seorang ulama di Lubnan, Shekh Fathi Yakan, apabila roh jihad hilang dari jiwa kita, kita akan takut mati, dan kita akan menjadi orang yang sayangkan dunia, maka ketika itulah Yahudi akan bangkit.

Semuga kita semua, walau apapun ugama kita, sama-sama mendoakan agar umat Palestine diberikan kekuatan berhadapan dengan Israel durjana ini. Jgn kita mudah mempercayai apa yang ditulis oleh media Barat atau sebaran berita spt CNN kerana mereka adalah tali barut Amerika.

Assoc Professor Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
Director
Department of Malaysian Studies
University of Malaya
@Cairo University
002 02 3569 4120 (tel/fax)
002 010 395 4493 (mobile

Dari Saya

Dalam masa saudara kita di Palestin memerlukan bantuan, saya sendiri pelik, bagaimana ada segelintir dari orang Islam di Malaysia ini yang seperti tidak ambil peduli apa yang berlaku pada saudara kita di Gaza.

Masih mampu melepak sambil goyang kaki bersantai di rumah ataupun kedai kopi. Membincangkan mengenai gosip panas artis itu dan ini. Terlalu leka menonton upacara perkahwinan sesetengah artis yang pada saya hanya merugikan masa sedangkan tidak ada kebaikan langsung untuk umat!.

Cuba anda bayangkan jika anda berada pada situasi umat Islam Palestin sekarang. Melihatkan orang Islam lain tidak melakukan apa-apa.

Apa yang anda rasa?


Tuesday, October 21, 2008

Muhasabah Cinta


Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru kusadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu


Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung do’a ku
Sakit yang kurasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi Muhasabat cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Artis: Edcoustic

Friday, October 17, 2008

Dengan Mata Pena Aku Berjuang

Pejam celik, pejam celik, semester kedua tahun ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Sungguh pantas masa berlalu. Bagi sesetengah universiti di New Zealand, peperiksaan akhir semester sudah pun bermula. Semoga berjaya pada rakan-rakan dan selamat berjuang.

Bagi Auckland University of Technology, minggu hadapan adalah minggu terakhir pengajian. Bagi diri ini sendiri, dan sememangnya fitrah seorang pelajar, semestinya saat-saat seperti ini adalah saat-saat yang sibuk, yang memerlukan diri ini mahir mengawal emosi diri dengan baik kerana bebanan kerja yang banyak. Saya hanya mampu berdoa pada Allah SWT supaya segala urusan dipermudahkan-Nya.

Sabarlah wahai hati...

"Zikri, kenapa dengan result kamu?"

Pertanyaan yang diajukan oleh pegawai pendidikan dan latihan JPA di sini yang tak mampu saya jawab ketika di tanya beliau semasa meeting minggu lepas. Diri ini terdiam lama. Di mana silapnya saya sendiri tidak tahu pada saat itu. Memori pada kegagalan lama teringat kembali.


Leka?

Lalai?

Tidak meletakkan keutamaan di tempat sepatutnya?

Satu lagi ujian hidup dari-Nya?

"InsyaAllah saya cuba perbaiki lagi puan. Mungkin silap itu datang dari saya juga...."

Hanya itu yang mampu saya luahkan.

Sepanjang malam saya fikir dan kenangkan. Di mana silapnya??

Perjuangan perlu diteruskan!

Alhamdulillah.

Semalaman saya fikirkan. Saya tahu di mana silapnya. Mungkin tak perlu dihebahkan di sini. Syukur masih lagi diberi peluang walaupun dalam masa yang suntuk ini diberi kesedaran oleh Ilahi.

"Allah SWT baru turunkan ujian yang sebegini kecil takkan dah tewas?!"

Saya cuba memotivasikan diri ini kembali. Saya yakin segala yang berlaku ini ada hikmah yang datang dari-Nya. Saya percaya dari kegagalan yang lalu, Allah SWT ingin memberi suatu petunjuk agar diri ini perlu diubah.

Kejayaan merubah diri itu pada saya masih lagi belum cukup dengan hanya sekadar kita sudah berjaya untuk setiap malam bangun menunaikan solat tahajjud. Merubah diri itu bukan hanya terletak, pada kejayaan untuk setiap dari kita berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis setiap minggu. Malah ia adalah suatu proses berterusan yang amatlah sukar. Siapa kata beristiqamah adalah suatu yang mudah?

Kita lihat apa kata Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 214,

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَآءُ وَالضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلاَ إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

" Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, "Bilakah akan datang pertolongan Allah?", Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Dengan ayat ini jelaslah sepatutnya setiap insan bergelar muslim itu sedar bahawa untuk masuk ke tempat terindah seperti syurga itu bukanlah mudah. Syurga yang manis itu perlu dibayar dengan harga perjuangan yang amatlah pahit.

Adakah apabila datang ujian-ujian kecil, kita sudah kecewa dan berputus-asa?

Mungkin Allah SWT ingin melihat bagaimana reaksi hamba-Nya dengan ujian-ujian yang diberikan-Nya.

Marah?

Berubah?

Insaf?

Sedar?

Terus terjerumus ke arah kemaksiatan dan menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai tuhan?

Yakin Dengan Ilahi

Seperti tahun-tahun sebelumnya, perjuangan kita sebagai seorang pelajar muslim sudah sampai ke kemuncaknya, terutamanya bagi rakan-rakan yang sedang menuntut di Auckland khususnya.

Sekadar nasihat buat anda dan diri saya sendiri, di samping kita berusaha, berdoa, dan bertawakkal pada Allah SWT, jangan dilupakan satu lagi ramuan penting dalam resepi kecemerlangan tadi, keyakinan diri yang tinggi bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk membantu.

Dia sentiasa rindukan rayuan hamba-Nya memohon pada-Nya bantuan dan pertolongan.

Tiada yang lebih gembira melainkan Allah bila ada hamba-Nya merayu penuh keikhlasan memohon dimudahkan segala kesusahan.

Saya selitkan satu kisah anbiya' yang pada saya boleh kita ambil pengajaran penting darinya. Kisah ini diceritakan Allah dalam Al-Quran dalam Surah Ah-Shu' ara ayat ke 62 hingga 67 sebagai pedoman buat hamba-hamba-Nya.

- فَلَمَّا تَرَآءَا الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَـبُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ - قَالَ كَلاَّ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَهْدِينِ - فَأَوْحَيْنَآ إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ - وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ الاٌّخَرِينَ - وَأَنجَيْنَا مُوسَى وَمَن مَّعَهُ أَجْمَعِينَ - ثُمَّ أَغْرَقْنَا الاٌّخَرِينَ - إِنَّ فِى ذَلِكَ لأَيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
Ayat ini menceritakan bagaimana keadaan orang-orang yahudi ketika tersekat di pinggir Laut Merah ketika sedang melarikan diri dari tentera Fir'aun. Kebanyakan mereka pada ketika itu sudah berputus-asa dengan mengatakan bahawa mereka akan tertangkap.

Tetapi dalam situasi ini, kita lihat bagaimana sifat dan tindakan seorang insan pilihan tuhan, Nabi Musa as. Dengan tenang dan yakin dia menyatakan bagaiman Allah SWT akan membantu mereka meskipun dia tidak tahu bagaiman bantuan dari Allah dan betulkah Allah SWT akan membantu mereka.

Akhirnya, dari keyakinan dan keimanan itu, Allah SWT menghulurkan bantuan-Nya. Seterusnya adalah kisah yang kita semua tahu di mana laut terbelah dan kaum yahudi berjaya menyeberang laut dan terselamat.

Begitulah juga anda dan saya. Keyakinan pada Allah SWT itu perlulah ada dalam kita mengharapkan bantuan dari-Nya. Adakah kuasa yang lebih hebat dari kuasa Yang Maha Mencipta?

Selamat Berjihad Dengan Mata Pena

Akhir kata, semoga berjaya pada semua. Dalam kita sibuk dengan urusan harian, jangan sesekali kita lupa di mana sepatutnya keutamaan dalam hidup ini kita patut letakkan. Iringi setiap usaha dengan doa, tawakkal, dan keyakinan pada-Nya!

Di bawah ini saya letakkan satu video yang sentiasa menaikkan kembali semangat saya untuk belajar dan berjihad dengan mata pena.

Saya sentiasa mencemburui saudara-saudara kita di Palestin kerana setiap hari mereka tahu, bahawa sesungguhnya pintu untuk mati syahid dan jalan untuk ke syurga sudah terbentang luas meskipun dengan batu mereka berjuang.

Dengan menonton video ini saya sedar, umat ini punya jalan yang masih jauh dan kita punya tugas yang berat untuk mengembalikan semula kegemilangannya.

Ini adalah pendapat saya, anda pula bagaimana?




Tuesday, October 7, 2008

Bila hati terasa runsing

Sekadar ingin berkongsi video dan lagu yang menarik.


Sunday, October 5, 2008

Pasca Ramadhan

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan doa pada Allah swt kerana memberi saya peluang untuk mengecap nikmat Ramadhan dan seterusnya menikmati bulan kemenangan umat Islam, bulan Syawal. Tahniah pada semua muslimin muslimat, sahabat handai di Auckland terutamanya dan di seluruh dunia di mana jua anda berada jika sasaran dan objektif amal ibadat yang ingin dicapai semasa bulan Ramadhan, tercapai.

Teringat kata-kata seorang alim dari Arab Saudi yang hadir ke Mount Street Prayer Room, di mana tempat saya menunaikan ibadah terawih setiap malam, Sheikh Khalid, tentang bulan Ramadhan bahawa beruntunglah seorang muslim jika Ramadhan ini berjaya mendekatkan dirinya pada Allah SWT dan syurga-Nya dan rugilah seorang muslim itu jika Ramadhan ini tidak datang padanya sebarang keuntungan pun. Saya pohon pada Allah SWT agar diletakkan diri ini dalam golongan yang pertama tadi.


Banyak juga karenah umat manusia semasa bulan Ramadhan diperhatikan dan semuanya saya jadikan iktibar buat diri sendiri dan pengajaran. Ucapan tahniah dan terima kasih juga pada Sheikh Rafat, penasihat pelajar muslim di AUT University dan juga rakan-rakan muslim yang membantu beliau dalam menghidupkan bulan Ramadhan bagi kami terutamanya pelajar muslim yang menetap di Auckland City. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa anda.

Sheikh Rafat akan memberikan sedikit tazkirah apabila selesai 4 rakaat pertama solat terawikh dan kemudian akan disambung dengan 4 rakaat terakhir disertakan dengan solat sunat witr. Antara sessi tazkirahnya yang menarik ialah apabila beliau menjemput seorang warga New Zealand, Brother John (kalau tak silap..) yang memeluk Islam hampir 20 tahun yang lalu untuk menceritakan kisah bagaimana beliau tertarik untuk memeluk Islam.

Sebabnya mudah sahaja. Layanan baik yang diterimanya semasa beliau merantau ke Pakistan hampir 20 tahun yang lalu yang menyebabkan beliau tertarik untuk memeluk Islam. Sepanjang tazkirah itu, secara jujurnya hati ini hanya memuji Allah yang satu.

Subhanallah..subhanallah..subhanallah....

Betapa mudah hidayah itu diberi. Jika hendak diberi, pada siapa pun Dia mampu. Dengan apa cara sahaja sekalipun. Brother John juga ada menceritakan bagaimana pada mulanya sebelum dia berangkat ke Pakistan bahawa dia tidak akan sesekali melakukan apa yang dikatakannya sebagai " meletakkan dahi di atas tanah, 5 kali sehari" iaitu solat 5 waktu atau bahasa mudahnya, memeluk Islam. Bukti bahawa hidayah itu sesungguhnya milik Allah SWT.

Dia juga menceritakan bagaimana seronoknya menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Betapa indahnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca oleh Imam Masjidil Haram. Betapa dia berasa tidak seronok dengan imej buruk yang ditonjolkan oleh media terhadap dunia Islam.

Dan nasihat yang paling saya ingat dari beliau ialah betapa pentingnya untuk setiap umat Islam itu memulihkan kembali imej Islam yang dipandang buruk oleh hampir keseluruhan penduduk dunia sekarang.

Sedangkan seorang yang lahirnya bukanlah seorang muslim mampu sedar untuk mencari jalan yang lurus menuju Tuhan yang maha mencipta, bagaimana pula kita?

Apakah tujuan hidup anda sebagai seorang muslim?




Tuesday, August 19, 2008

Ikhlas dari hati

Video dan sajak pada entry kali ini adalah ilham dari seorang senior saya di Auckland.

Alhamdulillah, ianya sangat menyentuh hati jika anda insan yang sedar.

Sedarlah wahai teman, ramai yang sudah berubah dan kembali ke pangkal jalan. Adakah anda hanya mahu menjadi golongan yang melihat?.

Usaha ini saya ambil kerana sedar di hari pertemuan kita dengan Allah SWT kelak, bukan setakat anda, tetapi saya sendiri akan ditanya oleh Yang Maha Kuasa mengenai rakan muslim yang lain, anda semua.

"Kenapa kau biarkan rakan-rakan mu yang lain leka?!"

Mungkin kerana kelalaian ini saya yang akan dihumban ke dalam api neraka.

Sekalian teman muslim ku, adakah menanti tua baru ingin kembali pada-Nya?

Anda pastikah esok masih ada?

Sajak ikhlas buat anda semua,

Lahirmu kerana satu tujuan
Hidupmu bukan sekadar mengecap kenikmatan
Kemanisan dunia tidak berkekalan
Jangan sampai kau sesat di hujung jalan

Wahai diri
Hari-hari mu berlalu tanpa kau sedari
Bulan dan tahun silih berganti
Kehidupan makin menjauhi
Kematian pula datang mendekati

Wahai diri
Alam dan makhluk sukar mengasihanimu
Masa turut meninggalkan mu
Manusia tidak akan selamanya bersama mu
Yang pasti
Hanya Tuhan bisa menemanimu

Wahai diri
Mengapa wujud takabbur dan bangga
Sedang kau hanya satu lagi ciptaan-Nya
Yang tiada upaya
Lemah tak bermaya

Wahai diri
Mengapa kau masih ingkar
Berani suruhan dan larangan-Nya kau langgar
Mujur Tuhan mu Maha Bersabar

Wahai diri
Mengapa kau biar diri mu terleka
Yakinlah kau satu perkara
Setiap amal pasti dibalas- Nya
Maka kembalilah ke jalan sepatutnya

Wahai diri
Buanglah ego dan sombongmu
Mintalah keampunan dari Tuhanmu
Andai selamat yang kau mahu
Di hari yang dasyat tak menentu

Wahai Tuhan
Terimalah ampunan ku!




Ingatan buat diri sendiri juga....

Sunday, August 17, 2008

Kecil-kecil cili padi!

Wah! saya sendiri rasa segan menonton video anak kecil dari Indonesia ini.

Hebat!

Semasa menonton dengan rakan-rakan video ini, ada yang kata anak kecil ini hafal skrip sahaja dan ada yang kata macam-macam lagi. Pada saya, itu tak sepatutnya jadi ukuran. Tak kisahlah anak ini menghafal atau membaca skrip. Apa yang lebih penting di sini?

Ya, dia menyampaikan dan menyedarkan. Sekurang-kurangnya dia melaksankan tanggungjawabnya. Kita???


Masih adakah lagi harapan?


Kembali

Wahai Tuhan yang Maha Pemurah
Terangilahku dengan Nur Iman-Mu
Hanya Engkau tempat aku berserah
Mohon maghfirah di dalam syahdu

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih
Ampunilah segala dosaku
Laksana buih di laut memutih
Hanyut ditelan gelombang nafsu

Hari-hari yang telah aku lalui
Ingin kutinggalkan terus bersemadi

Ingin aku kembali kepada fitrah insani
Tak sanggupku jelajahi rimba duniawi
Bebaskanlah diriku dari dibelenggu
Dosa noda nafsu durjana

Terimalah taubatku Ya Allah
Pimpinlah daku ke jalan redha-Mu
Moga sinar-Mu terangi hidupku
Di dalam kegelapan

Akukan kembali pada-Mu Rabbi
Mengadap-Mu Ya Rabbul Izzati
Segala ketentuanku pasrahkan
Di hujung penghayatan

Artis: Far East
Lagu & Lirik: Ahmad Fathi


Monday, August 4, 2008

Dia segala-galanya

"MasyaAllah penatnya..."keluh hati yang masih lagi lemah iman ini. Keluar pagi balik petang mencari rezeki.

Hari demi hari yang dilalui sememangnya tak pernah diri ini mengharapkan lagi ada masa terluang untuk bersenang lenang. Kerja dan tanggungjawab semakin banyak dan alhamdulillah semua ini mematangkan diri.

Seperti kata seorang tokoh Islam dahulu kala, "Kewajipan hidup ini lebih banyak dari masa yang ada...". Sememangnya benar dan tepat sekali.

Tadaru'

Alhamdulillah, ada hikmahnya diri ini selalu dibebani "kerja" kerana yang penting dapat melahirkan rasa tadaru' pada-Nya yang sememangnya layak dan berhak. Ramai muda mudi zaman ini yang semakin hari semakin hilang rasa ini dan yang paling sedih, rasa takabbur dan riak pula dengan kelebihan dan kesenangan yang diberi.

Saya suka akan cerita Nabi Yunus as yang diceritakan Allah SWT dalam Al-Quran. Kisah bagaimana manusia pilihan Allah SWT ini melahirkan rasa rendah diri dan rasa penuh penyesalan semasa berada dalam perut ikan paus kerana meninggalkan kaumnya. Apa kata Nabi Yunus as,

"...Tidak ada tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau. Sungguh aku termasuk orang yang zalim.." (21:87)

Lihat bagaimana Yunus tunduk dengan perasaan rendah diri pada Allah SWT mengharapkan ampunan dan bantuan Allah SWT. Itu bukan sebarang insan malahan insan pilihan. Sedangkan nabi dan rasul pun berkelakuan begitu, kita macam mana pula?

Selalulah bertanya pada diri, adakah kita memohon bantuan dan pertolongan pada masa kita susah dan senang atau hanya semasa susah sahaja?

Bila susah ke baru nak mencari Yang Maha Kuasa?Tak malu ke?Bila senang ke mana anda pergi?

Semua ini saya cerminkan semula pada diri saya sendiri yang selalu juga lupa akan-Nya. Diri ini bukanlah seorang yang alim tapi dapat dirasakan juga Allah itu suka akan hamba yang meminta pertolongan daripada-Nya. Memuji dan beristighfar pada-Nya. Siang dan malam.

Cukuplah Allah SWT bagi diri yang lemah ini...

Wednesday, July 30, 2008

Biarkan yang telah pergi....


Puisiku...!
Daku hanya merayu;
"Jika...Jikalau..."
Tiada pangkal;
Tiada penghujung;
Hanya beban-beban...!!
Yang pergi...!!
Usah diharap kembali;
Usah ditangisi;
Insan biasa;

Mengorak langkah'
Tuhan bijak;
Dia mengatur.
Hiburlah hatimu;
Usah dikenang;
Usah diratapi;

Kepada yang telah pergi....

( Detik-detik Masa karangan Dr. Yusuf Al-Qaradawi )

Tuesday, July 29, 2008

Dari Auckland ke Baitul-Maqdis

Hari selasa biasanya hari yang paling memenatkan dalam seminggu. Manakan tidak, kuliah dari pagi sampai ke petang. Memang selalu menguji kekuatan mental dan fizikal.

"See you guys this thursday..." kata-kata John Prince, pensyarah subjek Engineering Technology Studies yang saya ambil semester ini di AUT, yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh saya dan rakan-rakan.

Cuaca ribut dijangka melanda Bandaraya Auckland petang itu. Alhamdulillah, dalam perjalanan pulang ke apartment kami di Symonds Street, hujan turun renyai-renyai sahaja.

"Wah! Ramainya pak Arab. Eh! orang melayu pun ada?" terkejut di hati melihat Starbucks di sebelah apartment kami bukan dipenuhi orang kafir, tetapi dipenuhi orang islam!

Tangisan yang tiada henti

Dalam situasi di kafe Starbucks tadi, apa yang terus terlintas di fikiran saya adakah mereka ini tidak tahu atau tahu tapi tewas dengan nafsu, mengenai kempen memboikot syarikat yang membantu Israel dan Yahudi laknatullah yang sedang giat dijalankan oleh sesetengah umat Islam di seluruh dunia?.

Tidakkah mereka tahu setiap dolar yang mereka sumbangkan di kafe itu, akan digunakan untuk membeli peluru yang digunakan untuk membunuh bangsa mereka, bangsa seagama kita, orang Islam Palestin?.

Tidakkan mereka dan kita sedar atau hanya tahu untuk berseronok-seronok dengan sambutan Isra' dan Mi'raj sedangkan tiada sambutan Isra' dan Mi'raj pun sebenarnya dalam agama ini.
Islam tidak menyuruh untuk sekadar memperingatinya tetapi yang lebih dipentingkan ialah mengambil pengajaran dari kisah hebat ini.

Tidakkah anda sedar??

Perjuangan belum selesai

Sedih saya mengenangkan situasi ketika melihat ramai orang islam masih lagi tidak sedar dan peka dengan situasi semasa dan situasi semasa yang saya maksudkan di sini bukanlah mengenai isu perpindahan pemain bola sepak dari mana-mana kelab bola sepak atau mengenai isu jenama fesyen pakaian baru yang telah muncul di pasaran tetapi yang saya maksudkan dengan isu semasa ialah isu umat Islam yang dari hari ke hari ditindas dan namanya diburuk-burukkan!.


Saya bukan mengatakan segalanya itu perlu ditinggalkan seratus peratus. Sama sekali tidak. Tapi biarlah ada batasnya dan berpada-pada. Kita dalam sedar atau tidak semakin di"candu" oleh musuh Islam yang pada pedapat saya, mereka sedang memenangi peperangan yang tidak ada kesudahannya ini.

Usaha dan kemenangan!

Wahai sahabat, sedarlah, perjuangan membebaskan Palestin bukan perjuangan orang Palestin tetapi perjuangan membebaskan Palestin ialah perjuangan umat Islam. Tanah Palestin ialah maruah kita.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj menunjukkan ikatan yang kuat antara Masjidil Haram dan Baitul-Maqdis. Peristiwa ini juga menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu ialah nabi bagi kedua-dua kiblat ini.

Saya akhiri entry kali ini dengan kata-kata Moshe Dayan, bekas Menteri Pertahanan Israel,

"Orang Islam adalah umat yang lemah kerana mereka TIDAK MERANCANG DENGAN TELITI, MALAS MENGKAJI SEJARAH UMAT MEREKA TERDAHULU, DAN MALAS..."

renung-renungkanlah....


Sunday, July 27, 2008

Bismillah

Alhamdulillah, akhirnya dengan izin Allah swt, hajat yang selama ini tersimpan lama, tertunai juga. Diri ini bukanlah seorang tokoh mahupun seorang penulis yang hebat, cuma berharap dapat berkongsi dengan teman-teman apa yang terlintas di fikiran.


Gambar hiasan: Seni Kehidupan

InsyaAllah dimulakan penulisan blog ini dengan sepotong hadis untuk sama-sama direnung dan difikirkan.

Daripada Umar al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." [Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim]

Wallahua'alam.