Hampir RM200.00 saya habiskan untuk mencari buku pagi itu. Biarlah mahal sedikit dalam mencari ilmu, insyaAllah hasilnya pada diri, priceless.
Ketika sedang membelek buku Umar Al-Khattab, Reformis Dunia Islam, saya teringat akan hari jadi adik saya yang bongsu pada 1 Februari yang lalu. Kerana terlalu sibuk berpraktikal dan menghadiri program pengisian semasa di Malaysia, saya hanya sempat mengucapkan selamat hari jadi padanya melalui telefon.
"Hmmmm, nak beli hadiah apa untuk adik aku ni?" tertanya saya sendirian tengah hari itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
9 Tahun Yang Lalu
Masih teringat saya sembilan tahun yang lalu semasa dia dilahirkan.
"Nak bagi nama apa ni?" tanya ayah.
"Ahmad Nazim!" saya yang ketika itu duduk di sebelah ibu, memberi cadangan.
Ahmad bererti yang terpuji. Nazim, penyajak atau penyair. Nama yang indah untuk bakal pemuda harapan bangsa dan umat.
Salahuddin Al-Ayubi
Orangnya sentiasa ceria dan banyak bertanya. Berbeza dengan saya yang semasa kecil yang menurut ibu, lebih pendiam.
Orangnya sangat meminati Salahuddin Al-Ayubi.
Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya minat untuk menjadikan tokoh Islam yang hebat itu sebagai idola oleh seorang kanak-kanak pada zaman yang mungkin Ultraman, Spiderman, ataupun Batman lebih dikenali.
Moga Muncul Salahuddin Yang Baru
Buku sirah mengenai Salahuddin Al-Ayubi yang berada di atas rak buku kedai itu saya beli dan balut dengan kemas untuk dihadiahkan.
"...sejarah umat Islam ini bukanlah sejarah menang atau kalah, tetapi ianya sejarah perjuangan.."
Along
Pesanan yang ringkas saya tulis dihadapan buku.
InsyaAllah suatu hari nanti dia akan faham apa yang saya pesankan.
Saya hanya mampu berdoa supaya akan lahir bukan hanya seorang, tetapi berjuta Salahuddin Al-Ayubi yang baru. Yang akan membantu dan membela umat ini. Yang akan suatu hari mampu membebaskan bumi Palestin dan menyatukan umat Islam.
Pada saya, kanak-kanak ini perlu dibentuk dari kecil supaya mereka tidak leka dan lalai. Tahu akan cabaran dan tanggungjawab besar yang bakal menanti. Bukan hanya dididik untuk berfoya-foya dan hidup tiada tujuan.
Sebelum terlupa, Selamat Hari Jadi Ajim!
No comments:
Post a Comment