Tuesday, May 26, 2009

Erti Hidup Pada Memaafkan dan Memohon Maaf

"Cepat masa berlalu..."

Saya berbisik sendirian di dalam surau university. Dalam sedar atau tidak, semester pertama tahun 2009 hampir sampai ke penghujungnya. Lagi 2 minggu kelas akan berakhir sebelum peperiksaan akhir semester bermula. Bagi kami pelajar tahun ketiga mechanical engineering di AUT, hampir semua assignment ataupun projek telahpun di hantar. Tiada lagi test.

Selepas selesai menghantar assignment subject material petang itu saya terus ke surau. Jam di tangan menunjukkan hampir pukul 3 petang. Hampir masuk waktu Asar di Auckland.

Tiba di surau masih ada banyak waktu lagi sebelum masuk waktu Asar. Al-quran di dalam beg saya ambil dan bacaan Al-quran saya teruskan.

Tiba di ayat ke 29 surah Taha saya terhenti seketika. Aytnya berbunyi

"dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku"

Saya sambung lagi bacaan sehingga saya berhenti di ayat ke 36. Kemudian saya merenung jauh maksud 'ayat-ayat cinta' yang Allah cuba sampaikan.

Ada maksud tersirat di sebalik kisah Musa as dan Harun as tadi.

Al-quran yang dibaca saya tutup.

Terfikir saya betapa dalam berjuang menegakkan syiar Islam, Musa as tidak meminta bantuan dalam bentuk material, bukan juga angkatan tentera untuk menentang Firaun tetapi cukuplah seorang saudara!

Apa yang saya faham dari ayat-ayat Al-Quran ini ialah betapa pentingnya saudara ataupun sahabat bagi seorang muslim.

Apa buktinya? Nah, sudah diceritakan di dalam Al-Quran.

Tetapi bagaimana dalam dunia hari ini masih ada muslim yang masih boleh bergaduh sesama sendiri? Seperti sahabat semuslimnya tiada guna.

Tidak perlu kita lihat pada arena politik antarabangsa ataupun dalam negara. Cukup sekadar melihat teman kita di sekeliling.

Bermasam muka dalam tempoh waktu yang cukup lama hanya kerana salah faham. Tidak bertegur sapa. Tak cukup dengan itu, mengumpat dan menceritakan perkara yang bukan-bukan berkenaan sahabat tadi pada orang lain. Macam nak mengajak orang lain membenci sama.



Kebanyakan peristiwa bergaduh dan bermasam muka ini saya lihat yang berlaku hanyalah salah faham dan ego yang melampau. Bukan setakat ego, malah tak mahu mendengar nasihat dari sahabat yang lain. Susah juga nak melayan orang yang rasa diri dah cukup hebat ni.

Bagi saya, jikalau anda seorang lelaki sejati, jika ada perkara yang tak puas hati, adalah lebih baik diselesaikan secara berhadapan dan berterus terang. Bukannya bermasam muka dan meniggi suara tanda protes. Perjelaskan dan minta penjelasan. Jangan mengharapkan teman faham yang anda sedang marah dan kecewa. Tidak perlu memendam dan berdendam!.

Saban hari semakin banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Kadang-kala hal-hal yang remeh temeh ataupun keanak-anakan seperti ini perlu dikurangkan supaya tidak terbantut usaha bergerak ke hadapan.

Kadang-kala pelik bila difikir semula, sesetengah orang di dunia ini lebih selesa bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Dalam hal ini saya lebih suka mengajak anda merujuk kembali ayat 10 surah Al-Hujurat.

Apabila membaca Al-Quran janganlah sekadar baca dan hafal untuk menunjukkan anda hebat tetapi hayatilah maksudnya dan hadam maksud yang tersirat di dalam hati kerana saya percaya itu yang lebih penting.

Buang ego anda jauh-jauh dan mari kita belajar memaafkan kesalahan insan kerana saya percaya, anda juga akan mengharapkan perkara yang sama jika anda berada pada posisi sebaliknya.

Erti hidup pada memaafkan...insyaallah bermakna pada hidup!

1 comment:

Imran Razali said...

Salam ya akhuna Zikri

Wah dah baru.... ada apa2 ke ni :P

Ana doakan kita sama2 mampu untuk beramal di atas jalan tarbiyah dan da'wah ini dengan berpandukan sumber2 yang sahih dan evergreen, akal yang tajam dan terbuka, serta jiwa yang sejahtera dan adil.

Jadilah seperti Salman Al Farisi dalam usahanya yang tidak jemu bermati-matian dalam mencari kebenaran, Al- Haq yang pasti menang... dan istiqamahlah... Fastaqim kama umirta