Saturday, September 26, 2009

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum,

Harap masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat yang mengenali diri. Maaf di atas segala kesilapan yang tidak disengajakan sama ada terkasar bahasa atau hasil tulisan saya di dalam blog ini menyinggung perasaan yang membacanya.



Tahniah buat yang berjaya mencapai sasaran ibadah dan amal di bulan Ramadhan dan bagi yang tidak berpeluang, usah kecewa, mari sama-sama kita doakan agar diberikan Allah SWT pelaung sekali lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Suatu perkara penting yang gemar saya ingatkan apabila berborak dengan rakan-rakan mengenai Ramadhan dan Syawal dan mungkin elok juga jika saya kongsikan di sini, ialah supaya kita tidak hanya giat beribadah dan beramal di bulan Ramadhan sahaja tetapi apabila bulan Ramadhan berlalu meninggalkan kita, segala daya kesungguhan beramal tadi hilang.

Hilangnya daya kesungguhan beramal tadi apabila berlalunya Ramadhan ibarat kita ini hanya beriman dengan Ramadhan dan bukan dengan Allah SWT.

Ramadhan bukan hanya pada meriahnya suasana bazaar Ramadhannya.

Ramadhan bukan hanya giatnya insan ke masjid di malam hari untuk menunaikan solat sunat terawih.

Ramadhan bukan hanya pada giatnya usaha setiap insan untuk mempergiatkan bacaan Al-Qurannya sehingga selesai 30 juzu'.

Ramadhan bukan hanya pada giatnya insan bangun malam untuk menunaikan solat sunat.

Ramadhan adalah lebih dari semua itu.

Ramadhan adalah bulan untuk mendidik setiap jiwa yang sebelum ini malas untuk beramal ibadah rajin beramal ibadah dan keberkesanan latihan amal ibadah itu akan dinilai di luar bulan Ramadhan dan ianya tidak terhenti setelah Ramadhan tamat.

Ramadhan adalah bulan mendidik setiap anggota badan yang sebelum ini hanya tahu melakukan perkara sia-sia, berhenti melakukannya dan keberkesanan latihan itu hanya akan dinilai juga diluar bulan Ramadhan. Andai kata tabiat dan tingkah laku kembali seperti sikap jahiliyyah diri kita yang asal, maka latihan masih belum cukup dan kita hanya beriman dengan Ramadhan dan bukan dengan Allah SWT.

Pendek kata, usah tinggalkan segala kesungguhan dan kerajinan kita dalam mendidik diri menjadi mukmin sejati apabila Ramadhan selesai tetapi jadikannya sebagai satu bukti bahawa diri kita sebenarnya mampu berubah dan kekalkan malah tingkatkan lagi kualiti perubahan ke arah kebaikan pada diri untuk masa hadapan.

Mari sama-sama kita berdoa agar dapat dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang. Insyaallah.



Salam lebaran...

No comments: